Emotional Numbness atau direct translation nya ialah Kekebasan Emosi. Jujurnya Kak Yang tak tahu apa Emotional Numbness dalam Bahasa Melayu. Terima jela direct translation Kak Yang yang kedengaran sedikit pelik ini.
Hari ni Kak Yang nak share tentang apa itu Kebas Emosi dan sedikit pengalaman Kak Yang menghadapinya. Entry kali ni, Kak Yang akan banyak fokus kepada pengalaman Kak Yang. Kak Yang tak fokus untuk buat entry yang bersifat berat. Hanya perkongsian untuk menyampaikan kesedaran kepada para pembaca.
Okay, jom kita mula.
APAKAH MAKSUD EMOTIONAL NUMBNESS/KEBAS EMOSI
“Emotional numbing is the mental and emotional process of shutting out feelings and may be experienced as deficits of emotional responses or reactivity,” explains Mayra Mendez, Ph.D., LMFT, a licensed psychotherapist and program coordinator at Providence Saint John's Child and Family Development Center."
Bahasa mudah Kak Yang, Kebas Emosi adalah keadaan apabila seseorang itu tidak mampu merasai sebarang emosi. Sedih tidak, gembira tidak, marah tidak, tenang tidak. Tak mampu nak rasa apa-apa. Atau boleh juga kita sebut keadaan ketika kita tidak merasakan apa-apa. Rasa kosong-empty.
Berdasarkan definisi yang diberikan, kebas emosi adalah satu response atau tindak balas yang perasaan kita hasilkan disebabkan oleh pengalaman tertentu. Menurut bacaan ringkas Kak Yang, keadaan emotional numbness ni adalah salah satu defence mechanism yang diri kita develop secara automatik.
Kak Yang akan share secara lebih scientific pada entry yang lain ye. Kali ni memang Kak Yang nak share pengalaman Kak Yang sendiri mengalami state emotional numbness.
Cerita bermula pada... Kak Yang pun tak pasti bila. Tiba-tiba tersedar... 'Eh, dah lama aku tak rasa apa-apa. Gembira tidak. Sedih pun tidak. Aku rasa apa sekarang?'
Pada persoalan "Aku rasa apa sekarang", Kak Yang tak dapat nak jawab. Kak Yang cuba analisis perasaan sendiri. Tapi, Kak Yang tak jumpa. Sepanjang pencarian jawapan kepada "apa yang aku rasa sekarang", Kak Yang sedar beberapa perkara. Antaranya...
1. Kak Yang tidak lagi berminat buat benda yang sebelum ni Kak Yang minat.
2. Kak Yang tak rasa satisfaction atas apa juga perkara yang Kak Yang buat.
3. Bila Kak Yang main dengan anak, bergurau dengan anak, Kak Yang tak rasa nak gelak.
4. Tengok cerita sedih (Kak Yang seorang yang emotional ye. Cepat tersentuh) yang biasanya Kak Yang nangis meleleh-leleh, kali ni Kak Yang tengok je. Sedih pun tak.
5. Suami Kak Yang buat surprise, kebiasaannya Kak Yang berbunga kembang setaman happy. Kali ni Kak Yang tak rasa apa-apa.
Semasa ini la Kak Yang identify yang sebenarnya Kak Yang mengalami emotional numbness.
Perasaan ini sangat real sehingga memberi kesan yang sangat besar pada Kak Yang. Manusia dan perasaan berpisah tiada. Siapa yang cakap 'tak ada perasaan' tu maksudnya ada sesuatu yang tak kena pada dirinya. Bila Kak Yang tak rasa apa-apa, Kak Yang tak mampu nak berfungsi macam biasa.
KESAN EMOTIONAL NUMBNESS
1. Tak ada semangat nak buat apa-apa. (Simptom yang sama seperti kemurungan).
2. Tak rasa ada priority yang perlu dibuat.
3. Hidup dan bernafas hanya kerana masih hidup. Tak look forward pun pada hidup.
4. Kak Yang jadi kejam dalam diam. Tak mampu nak faham perasaan orang. Rasa macam... "Alah, benda kecil macam ni pun mahu bising kaaa"
5. Hidup bagai robot. Buat apa pun, tak rasa apa-apa. Kosong.
6. Jadi teramat malas. Kebanyakkan masa Kak Yang habiskan dengan buang masa. Masa berlalu begitu sahaja.
Kak Yang mengalami keadaan ni dari hari menjadi minggu. Minggu menjadi bulan. Sedar-sedar, sebulan setengah juga Kak Yang dalam state ini. Penat ye kawan-kawan bila perasaan itu tiada rasa lagi.
Pada Kak Yang, untuk berfungsi dengan baik, Kak Yang perlu hubungkan emosi dan rational. Baru rasa hidup tak seperti robot.
Selepas sebulan lebih lamanya, Kak Yang decide untuk seek help. First step Kak Yang, Kak Yang call salah satu kakak Kak Yang yang ramai itu (Kak Yang ada 4 orang kakak, 3 abang, 1 adik lelaki). Kak Yang pun buat la sesi curhat dengan Kak Puteh.
Kak Puteh juga pernah mengalami fasa emotional numbness ni. Kak Yang jadi tempat dia curhat. Sekarang, Kak Yang pula perlukan Kak Puteh untuk dengar curhat Kak Yang. Curhat yang makan masa dekat seminggu juga perlahan-lahan Allah izin perasaan Kak Yang sedikit demi sedikit hadir kembali.
Kami cuba menganalisa bersama punca datang emotional numbness. Jujurnya, sampai sekarang Kak Yang tak tahu apa puncanya. Tapi usaha untuk "kembali hidup" bukanlah semata-mata mencari punca sesuatu berlaku. Sementara mencari punca, sesuatu tetap perlu dilakukan.
Kak Puteh buat sesi kaunseling dengan Kak Yang. Tanya soalan yang membuatkan Kak Yang fikir dalam-dalam. Bawa diskusi ini bukan hanya untuk memahami perasaan Kak Yang tetapi pada masa yang sama tarik perasaan ni untuk bangkit berdiri dari pembaringan yang panjang. Bukan sekadar meluah perasaan lalu hanyut dengan perasaan. Tetapi luah perasaan untuk diluruskan dan diuruskan perasaan itu kembali.
REFLEKSI KEHIDUPAN BERSAMA KAK PUTEH
Selepas Kak Puteh mendengar dengan tekun curhat Kak Yang, Kak Puteh memberikan response yang pertama sekali.
1. Senaraikan kekuatan dan kelebihan yang telah Allah berikan kepada Kak Yang.
Kata Kak Puteh, kita perlu jujur akan kekuatan dan kelebihan diri kita. Setiap daripada manusia ini lahir dengan pakej kekuatan dan kelemahan. Kelebihan dan kekurangan. Kesemuanya adalah anugerah kasih sayang Allah pada kita.
Anugerah yang bakal diminta pertanggungjawaban kelak... Pada kekuatan dan kelebihan ini, dengan jujur analisa sejauh mana telah kita memanfaatkan kekuatan dan kelebihan tersebut. Adakah we take it for granted? Atau, adakah kita benar-benar mensyukuri nikmat tersebut, gunakan dengan baik untuk unleash the full potential in us?
Kejujuran bermuhasabah ni fokusnya hanya untuk merasai syukur. Syukur merasai kasih sayang Allah pada diri.
Apabila diri tidak lagi menyayangi dirinya, rasailah kasih sayang Allah pada diri.
2. Menentukan nilai yang dipegang.
Sentiasa update nilai yang kita pegang. Nilai ni ibarat prinsip juga. Setiap dari kita mempunyai nilai-nilai tertentu yang diserapkan pada kita oleh ibubapa atau nilai yang kita bina seiring dengan pertambahan ilmu, kematangan dan usia.
Penentuan nilai adalah steps kedua untuk bergerak dan kembali berfungsi. Contoh nilai mudah yang boleh Kak Yang fikirkan adalah, nilai masa kanak-kanak arwah mak pantang sangat bangun pagi lewat. Mesti bangun pagi awal dan aktif semasa awal pagi.
Nilai yang diterapkan ini secara langsung dan tak langsung menjadikan kita sebagai kita. Perlanggaran nilai yang kita sendiri buat akan menyebabkan konflik. Konflik dalaman ni pula akan membawa kepada perasaan guilty. Seterusnya jadi tak gembira. Di sinilah kebiasaannya punca kepada permasalahan.
3. Menetapkan 'role' iaitu tugas sebagai seorang 'AKU'.
Define semula. Aku ni siapa? Aku seorang emak, isteri, anak, pekerja, peniaga, penulis, dan sebagainya. Tetapkan semula tugas diri. Pada setiap role itu, perincikan pula tanggungjawab bersamanya.
Contohnya, Aku seorang isteri. Tugas Aku adalah sediakan rumah yang selesa buat keluarga, menenangkan hati suami, menjaga kehormatan keluarga dan sebagainya.
Penetapan role dan responsibility ini akan memberi kita satu tujuan untuk bergerak ke hadapan. Perlahan-lahan akan membantu kita kembali berfungsi dengan fungsi yang selayaknya.
Apabila kita berfungsi seperti yang sepatutnya, kita akan mencapai kepuasan. Kepuasan dalam melaksanakan tanggungjawab.
4. Pesan Said Nursi tentang ujian.
Kak Puteh peminat Said Nursi. Semua nasihat, akan Kak Puteh selitkan nasihat Said Nursi. Antara yang tertanam dalam jiwa Kak Yang adalah Said Nursi berkata...
Setiap dari ujian yang Allah beri kepada kita, Allah turut membekalkan kesabaran dan kekuatan yang cukup untuk kita hadapi ujian itu. Namun, kesabaran dan kekuatan ini telah dipecah-pecahkan oleh manusia apabila dia selalu mengenangkan perkara yang telah berlalu dan terlalu memikirkan perkara yang akan berlaku. Akhirnya manusia ini menjadi lelah dan terhenyak terpenyek.
Dengan nasihat Said Nursi, sememangnya memberikan sentapan yang kuat buat Kak Yang. Sememangnya, Kak Yang terlalu banyak mengenangkan perkara yang lalu. Sangat membuang masa dan membunuh jiwa.
Kak Puteh ada 1 mantera...
5. Terimalah hakikat keadaan emotional numbness ini akan kembali berulang.
Di penghujung bicara Kak Puteh, pesanannya agak kelakar. Katanya 'Kamu jangan risau, keadaan ini akan kembali berulang lagi dan lagi di masa hadapan. Tak tahu bila. Tapi akan berulang. Dan ianya normal begitu.'
Tiada yang kekal. Perasaan negatif ini juga tidak kekal. Ia akan berlalu pergi digantikan dengan perasaan positif. Lalu berlaku lagi cycle itu berulang-ulang kali.
Namun, ujian ini tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk meningkatkan iman seorang mukmin. Setiap kali kita melepasi ujian perasaan yang berat, kita akan keluar dari ujian itu dengan diri yang lebih baik. Jiwa yang lebih kuat. Maka, logik sahajalah untuk Allah uji kita lagi dan lagi selagi belum mati.
6. Kekal dalam zikir iaitu ingatan secara aktif kepada Allah swt.
Sepanjang menghadapi ujian ini, kekal merasakan diri dalam jagaan kasih sayang Allah. Said Nursi berpesan, dikala ujian, perbanyakkan zikir Nabi Yunus dan juga zikir Allahu-Baqi.
Hanya Allah yang kekal. Keadaan yang sukar ini akan berlalu. Yang tinggal hanya yang baik-baik sahaja. Segala apa yang sedang berlaku hanya sementara. Hanya Allah yang kekal.
Diulang-ulang-ulang-ulang dan ulang sehingga terpahat dihati.
Perlahan-lahan Kak Yang hadam apa yang Kak Puteh nasihatkan Kak Yang, akhirnya selepas sebulan setengah, Kak Yang mulai dapat semula rentak untuk kembali berfungsi seperti yang seharusnya. Alhamdulillah...
Apa yang Kak Yang kongsikan ini hanyalah semata-mata pengalaman Kak Yang sendiri. Perasaan datang dan pergi. Emosi positif dan emosi negatif bersilih ganti. Kedua emosi ini perlu diraikan dan diurusjaya.
Cara Kak Yang overcome keadaan ini adalah cara Kak Yang. Pasti ada yang lebih cenderung pada cara yang berbeza. Ada teknik tertentu yang Kak Yang tak buat, Kak Yang tak tahu, Kak Yang tak cenderung, Kak Yang tak cuba. Masing-masing ada caranya tersendiri.
Pada Kak Yang mengembalikan segala sesuatu dalam hidup Kak Yang kepada Tauhid dan Iman adalah satu KEWAJIBAN. Tanpanya, Kak Yang akan mereng. Kerana ini nilai terbesar yang tidak berubah sejak kecil sehingga dewasa.
Orang lain, lain pula nilainya...
Pada mereka yang sedang mengalami ujian perasaan, Kak Yang doakan semoga kekuatan dan kesabaran kalian menyatu dengan teguh. Semoga ujian berat itu lekas berlalu dan kalian upgrade menjadi lebih baik dan baik dan baik. In sha Allah. Mohon doakan Kak Yang juga ye. 💖
Salam kasih,
Kak Yang | Fahima Zabidi